Selasa, 29 Mei 2012

Daftar Kata

Sosiolinguistik

  • Kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat.

Mikrososiolinguistik

      Kajian tentang hubungan antara struktur linguistik dan struktur sosial pada paras interaksi bersemuka.
Perancangan bahasa
      Perancangan Status
      Perancangan menetapkan bahasa kebangsaan, bahasa kedua, bahasa rasmi, bahasa pengantar.
      Perancangan Korpus
      Pemilihan tulisan seperti Akta Bahasa 1963 menetapkan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi  bahasa Melayu.

Khamis, 3 Mei 2012

Sosiolinguistik 40: Senyum itu indah!!!


Memandangkan ini adalah tugasan terakhir yang perlu saya siapkan, jadi saya ingin berkongsi sedikit tentang budaya “senyum”. Adakah susah untuk senyum? Saya sendiri akui yang saya bukan jenis yang senang senyum tetapi kalau berada depan orang saya akan cuba senyum walaupun mungkin nampak senyuman itu palsu. Sesetengah orang cakap saya suka senyum dan ada sebahagian cakap saya sentiasa masam. Sebenarnya ia bergantung kapada dengan siapa saya berjumpa dan berkawan. Sekiranya saya selesa dengan seseorang itu maka tidak sukar untuk saya melemparkan senyuman dan gelak ketawa.

Selain itu, pandangan orang lain merupakan ‘cermin diri’ kita. Tidak dapat disangkal lagi, kadang kala kita amat sukar untuk melemparkan senyuman terhadap orang yang baru kita jumpa. Persepsi ini perlu diketepikan kerana senyum itu merupakan sedekah. Selain itu, senyum juga sebenarnya satu senaman ringkas otot muka.

Kesimpulannya bagi saya, senyuman juga merupakan cara berbahasa untuk mengeratkan silaturrahim. Bahasa badan ini telah dijadikan medium untuk berkempen oleh kerajaan dalam memartabatkan nilai budi masyarakat di Malaysia.

P/s: Senyuman itu boleh merubah hati dan persepsi seseorang itu terhadap kita.

Sosiolinguistik 39: "Jangan Guna Aku, Aku Mahu Rehat”


Sebentar tadi, sewaktu saya pulang dari latihan drama lakonan di kampus. Saya dan kawan singgah sebentar di mesin ATM yang berada di pintu utama untuk mengambil wang. Sampai saja di mesin ATM tersebut, kami mendapati hanya satu sahaja yang berfungsi dan satu lagi rosak. Ayat yang ditulis pada mesin ATM yang rosak itu seperti berikut “Jangan Guna Aku, Aku Mahu Rehat”.  

Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tidak betul apabila ingin memberitahu tentang keadaan mesin ATM yang sedang diselenggara itu. Sebaik-baiknya kita sebagai mahasiswa/i seharusnya mengetahui cara untuk  menggunakan laras-laras bahasa mengikut situasi-situasi tertentu. Bahasa melambangkan jati diri kita sebagai rakyat Malaysia.

P/s: Bahasa Jiwa Bangsa. 

Rabu, 2 Mei 2012

Sosiolinguistik 38: Bahasa Tersirat


Bahasa tersirat merupakan bahasa yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maksud tetapi tidak disampaikan secara terus. Cara penyampaian bahasa ini juga lebih bersopan dan tidak menggunakan nada menyindir seperti dalam bahasa sindiran. Bahasa tersirat juga digunakan untuk menyampaikan maksud penolakan tetapi tidak disampaikan sehingga mengakitkan hati penutur kedua.

Selain itu, bahasa tersirat juga membolehkan penutur kedua memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penutur pertama. Seandainya penutur kedua gagal memahami maksud penutur pertama yang menggunakan bahasa tersirat, maka hal ini boleh menyebabkan salah faham dalamm konteks komunikasi tersebut.

Situasi :
Pada suatu hari, saya berjanji dengan kawan untuk datang latihan bola baling pada waktu malam. Kami berjanji untuk bertemu di Bitarasiswa terdahulu sebelum pergi ke padang. Selepas setengah jam saya menunggu, barulah dia muncul. Saya berasa sangat marah kerana dia tidak tepati masa. Berikut merupakan perbualan antara kami.

Kawan :Maaf laa..ada hal tadi.
Aku      :Tak ape daa biasa.. [nada sinis]
Kawan : Amboi..dalamnya ayat..huhhu

P/s: Bahasa kadangkala mampu merungkapkan segala-galanya.


Selasa, 1 Mei 2012

Sosiolinguistik 37: Ragam dalam kelas

Pada kali ini aku ingin berkongsi tentang satu pengalaman yang bagi aku tidak akan pernah melupakannya sepanjang pengalaman aku belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Hendak dijadikan cerita, dalam satu  kuliah untuk kursus bahasa Melayu, aku dan sahabatku bersembang dengan rancaknya tentang sesuatu perkara. Dalam masa yang sama, ketika sedang kami berbual rancak di belakang, pensyarah dan pelajar yang baru saja selesai sesi pengajaran makro meminta seorang pelajar daripada kami untuk mengkritik tentang pengajaran dan pembelajaran makro yang dilakukan oleh pelajar sebentar tadi. Sewaktu pelajar tersebut membuat kritikan, pensyarah melihat kami bersembang dan tidak memberi tumpuan terhadap kritikan yang diberikan oleh pelajar lain. Pensyarah tersebut telah menegur kami kerana tidak memberi tumpuan dalam kelas. 

Pengajaran daripada cerita ini adalah, kita sebagai pelajar ataupun sesiapa sahaja perlulah menghormati dan memberi tumpuan sewaktu orang atau pensyarah bercakap di hadapan kelas. ini merupakan salah satu daripada budaya kita dan termasuk dalam kesantunan dalam berbahasa. Setiap tingkah laku yang dibuat oleh kita mestilah berlandaskan kepada akal dan fikiran bukan kerana nafsu. 

P/s: Jangan bercakap dalam kelas ketika cikgu sedang mengajar!!!

Isnin, 30 April 2012

Sosiolinguistik 36: Perancangan Bahasa


KONSEP PERANCANGAN BAHASA:
Perancangan bahasa bererti pembinaan bahasa secara sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menangani fungsi-fungsi baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa melayu dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan bahasa seluruh sistem kehidupan moden.

Perancangan bahasa ini boleh dipercahkan kepada dua bahagian iaitu  perancangan taraf dan perancangan korpus. Perancangan taraf biasanya lebih kepada memberi taraf tertentu kepada sesuatu bahasa manakala perancangan korpus pula lebih kepada membina bahan bahasa tersebut menjadi bahasa yang kemas sistemnya supaya dapat memenuhi taraf yang diberikan kepadanya.

Tetapi dalam entri ini saya akan berkongsi bersama anda tentang perancangan taraf yang terdiri daripada tiga pecahan utama dalam bahasa Melayu iaitu:
  1. Bahasa kebangsaan- yang berfungsi sebagai medium penyatuan kaum
  2. Bahasa Rasmi- Bahasa rasmi pula merupakan bahasa Melayu yang diguna pakai dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam.
  3. Bahasa pendidikan-Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. 



Jumaat, 27 April 2012

Sosiolinguistik 35: Bahasa halus dalam berbicara


Tahniah! Permohonan encik untuk mendapat orang gaji telah diluluskan.”
“Maksud encik?”
“Encik akan mendapat orang gaji itu dalam masa dua bulan lagi.”
“Syukur alhamdulillah. Permohonan kita untuk mendapat orang gaji berjaya jugak akhirnya abg”.

Dialog di atas saya petik daripada sebuah Majalah Dewan. Di sini bukan saya ingin mengulas tentang jalan cerita novel ini, tetapi ingin mengulas tentang penggunaan bahasa dalam majalah ini. Saya ingin menyentuh tentang satu perkataan yang digunakan, iaitu “orang gaji”. Kita sedia maklum bahawa selalunya penulisan novel menggunakan bahasa yang puitis dan indah. Saya berpendapat bahawa lebih indah bahasa itu seandainya penulis menggunakan bahasa-bahasa yang halus dan lembut dalam penulisannya.

Bahasa halus atau eufemisme merupakan bahasa atau perkataan yang lebih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan yang dirasakan kasar atau menyentuh perasaan orang lain, perkataan orang gaji yang digunakan dalam novel tersebut sebenarnya agak kasar bunyinya. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa perkataan yang lebih lembut bagi menggantikan perkataan tersebut seperti perkataan pembantu rumah atau orang rumah.

P/s: Bahasa itu indah sekiranya digunakan pada tempat yang betul...

Khamis, 26 April 2012

Sosiolinguistik 34: Kesalahan Hukum D-M


Seringkali saya melihat terdapat banyak kesalahan penggunaan hukum D-M ketika saya berjalan di sesuatu tempat. Hal ini mungkin berlaku kerana kita lebih suka untuk mengikut struktur dalam bahasa Inggeris dan pengaruh penggunaan bahasa Inggeris itu sendiri sehinggakan kita mengenepikan bahasa Melayu. Berikut merupakan bentuk-bentuk kesalahan yang sering dilakukan  dan pembetulan yang sempat saya ingat untuk dikongsi bersama.

Salah:
1-Dia menaiki mini bas.
2-Makan di Aisyah Restoran.
3-Makan maggie mee.
4-Naik Mara Ekspress.
5-Bercicahkan cili sos.

Betul

1-Dia menaiki bas mini.
2-Makan di  Restoran Aisyah.
3-Makan  mee maggie.
4-Naik  Ekspress Mara.
5-Bercicahkan sos cili .


P/s: Hukum D-M (Diterang-Menerang)




Rabu, 25 April 2012

Sosiolinguistik 32: Fenomena bahasa SMS



SMS merupakan salah satu fenomena bahasa atau trend pada masa kini yang berleluasa dalam kalangan pengguna telefon bimbit. SMS adalah singkatan kepada Short Messaging Service atau Khidmat Pesanan Ringkas. 

Penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit pada zaman sekarang telah merebak kepada semua komunikasi lain seperti emel, penulisan blog dan forum komuniti termasuk laman sosial seperti Facebook, MySpace dan lain-lain. 

Bahasa SMS mencemarkan bahasa Melayu kerana terdapat penggunaan bahasa singkatan, bahasa rojak, dan sebagainya yang menyebabkan hilangnya ketulenan bahasa tersebut. Hal ini amat menyedihkan kerana selama lebih 20 tahun kita diajar untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul tetapi akhirnya kita mengabaikan penggunaan bahasa tersebut. 

Contoh bahasa SMS:
“akum, bley x sesape plz bgtau cm ner nk siap kn keje nie..? idea plz..”
P/s : SMS@Short Messaging Service 

Selasa, 24 April 2012

Sosiolinguistik 33: Hukum D-M


Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama.
Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’. Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’.
Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.

Isnin, 23 April 2012

Sosiolonguistik 31: Komunikasi Pemujukan





Pada hujung minngu yang lepas aku dan sahabatku telah meluangkan masa sepetang bersama di Pekan Tanjong Malim, tambahan pula pada hari tersebut terdapat pasar malam di Pekan tersebut. Gerai demi gerai kami kunjungi bagi mencari makanan yang berkenan di hati. Aku terpegun melihat sebuah gerai yang menjual buah-buahan yang berdekatan dengan aku apabila mendengar bahasa-bahasa pemujukan yang dilontarkan oleh peniaga tersebut untuk menarik minat para pembeli yang lalu di gerai mereka. Itulah kuatnya penangan bahasa pemujukan dalam perniagaan. 

Contoh bahasa pemujukan:
  1. Buah murah-murah....
  2. Adik beli buah ini. Isinya sangat manis.
  3. Buah ini manis macam kakak.
  4. 2 kilo RM 5... Murah-murah!


Bahasa pemujukan ialah bahasa yang digunakan oleh para peniaga untuk menarik pelanggan. Dalam dialog di atas, penjual menggunakan bahasa pemujukan untuk menarik pelanggan supaya membeli buah-buahan di gerainya. Peniaga tersebut juga menggunakan perkataan manis yang sepatutnya digunakan untuk menunjukkan rasa sesuatu makanan seperti buah pada orang. Hal ini disebut sebagai perumpamaan antara manis buah dengan manis orang. 

P/s: Mulut manis 

Jumaat, 20 April 2012

Sosiolinguistik 30:Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam


MAKSUD :
1) seseorang yang bodoh sekalipun, jika diajar betul-betul akan menjadi pandai
2) orang yang sabar dan setia, jika dihasut boleh juga menjadi jahat

SITUASI :
Setitis air boleh melekukkan batu sekiranya berterusan. Pantai akan berubah sekiranya ombak terus-terusan memukul. Hujung kayu tidak akan lancip sekiranya tidak diruncingkan. Belakang parang yang tebal dan majal boleh menjadi tipis dan tajam sekiranya terus diasah. Begitulah perumpamaan yang digambarkan dalam peribahasa itu bertapa pentingnya sesuatu perkara. Oleh itu kita sebagai masyarakat Malaysia perlulah melakukan perubahan daripada baik kepada lebih baik.

Khamis, 19 April 2012

Sosiolinguistik 29: Peribahasa Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya


MAKSUD :

1. seseorang anak itu akan menurut budi dan perangai ibu bapanya. 
2. keadaan sesuatu itu menurut asalnya.


SITUASI :

Kita selalu mendengar kata-kata begini; perangai atau wajahnya tak ubah seperti bapanya atau ibunya. Kata-kata tersebut menggambarkan persamaan antara anak dengan orang tuanya, tidak kira yang berunsur negatif, mahupun positif. Alimnya seseorang anak disamakan dengan warak ibu bapanya, pintarnya seseorang anak disamakan dengan bestari ayah emaknya, nakal seseorang anak disamakan dengan jahat orang tuanya dan segitulah seterusnya.


Rabu, 18 April 2012

Sosiolinguistik 28: Peribahasa Melayu

Zaman sekarang agak sukar untuk anak-anak muda mengetahui peribahasa-peribahasa lama yang menjadi khazanah kita. Saya berasa ingin berkongsi tentang topik ini apabila teringat petang tadi saya dan kawan-kawan bersembang sambil menunggu bas untuk balik ke kolej kediaman. Seorang kawan secara tidak sengaja terkeluar perkataan "Air muka" sewaktu bercakap dengan saya petang tadi. Berikut merupakan antara perbualan kami sehinggakan perbualan kami ters kepada topik peribahasa.

Kawan: Fiq cuba kamu lihat air muka dia? macam ada masalah sahaja.
Aku     : Air muka? bukan itu peribahasa ke?
Kawan : eh eh ya laa.. tidak sangka aku boleh aplikasikan peribahasa aku dalam percakapan seharian.
Aku     : Apa lagi eh peribahasa melayu yang ko tahu?


berikut merupakan antara contoh-contoh peribahasa yang sempat kami senaraikan dalam perbualan kami sementara menunggu bas untuk balik ke kolej kediaman.

Ada hati
  • Ada keinginan

Ada jalan
  • Ada cara, ikhtiar, usaha

Ada udang di sebalik batu
  • Ada maksud yang tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan

Air muka
  • Permukaan air
  • Rupa muka (yang membayangkan sesuatu perasaan)
  • Maruah, harga diri

Air seni
  • Air kencing, air kecil

Akal yang sihat itu ada pada badan yang cergas
  • Orang yang sihat tubuh badan memiliki fikiran yang baik atau idea yang bernas

Akar umbi
  • Akar tunjang
  • Keseluruhan asas (sesuatu) yang kukuh
  • Peringkat bawahan atau asas dalam sesuatu komuniti

Alah bias tegal biasa
  • Segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa mengalaminya

Alah membeli menang memakai
  • Tidak apalah mahal sedikit harganya asal barang itu kuat (tahan dan sebagainya)

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
  • Kalau sudah terlanjur jahat biarlah sampai beroleh hasilnya
  • Kalau sudah melakukan sesuatu, biarlah pekerjaan itu diselesaikan

Ambil langkah
  • Mulai hendak berjalan
  • Mulai bertindak


Selasa, 17 April 2012

Sosiolinguistik 27: Ketidaksantunan dalam berbahasa

Kali ini saya ingin menceritakan perihal ketidaksantunan berbahasa dalam kalangan anak-anak muda pada masa kini. Situasi ini saya perolehi apabila pergi ke Pekan pada petang tadi untuk membeli keperluan seharian di sebuah kedai. Setibanya saya di tempat parking motor, saya terdengar perbualan yang dituturkan oleh sekumpulan remaja yang berhampiran dengan tempat parking moto itu. Bahasa-bahasa yang digunakan oleh remaja-remaja tersebut tidak menunjukkan kesantunan bahasa langsung. Antara perkataan yang sempat saya ingat adalah seperti berikut.

  1. Amacam bro? ok.. ape kejadah punya sial mamat tu.
  2. Lantak ko laa.. pi mampus laa.. pukimat
  3. Derr..amacam projek mlm nie? terbaikkk!!
  4. Sungguh bangsat brother tu.sial tol

Kita sebagai masyarakat Malaysia seharusnya menerapkan nilai-nilai ketimuran seperti berbudi-bahasa, sopan-santun dan lemah-lembut agar budaya yang kita terima dari nenek moyang ini tidak akan terus terkubur ditelan arus permodenan dunia.


Isnin, 16 April 2012

Sosiolinguistik 26:Peribahasa Jiwa Kita


Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.



Yang lama dikelek, yang baharu didukung

Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup

 yang baharu.



Seperti lembu dicucuk hidung

Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang



Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.



Bagai kaca terhempas ke batu

Maksud : Sangat sedih atau kecewa.



Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.



Bagai Aur Dengan Tebing

Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan 

saling membantu.



Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.



Bara yang digenggam biar sampai jadi arang

Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, 

sehingga mencapai kejayaan.



Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih 

baik di negeri sendiri

Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap 

negeri sendiri lebih baik lagi.

Jumaat, 6 April 2012

Sosiolinguistik 25:Pelat dalam berbahasa



Pada minggu lepas seorang rakan sekelas saya yang berbangsa Cina telah melakukan pembentangan untuk tugasan sosiolinguistik. Dalam pembentangan tersebut saya mendapati dia banyak melakukan kesalah sebutan, terutamanya bagi perkataan yang mengandungi huruf ‘r’. Antara perkataan yang salah sebutannya seperti berikut:

            Lakan              - Rakan
            Cudah              - Sudah
            Pelibahasa      - peribahasa
            Ibalat                 - ibarat
            Pekala               - perkara
            Selupa               - serupa
            Banyiak              - banyak

Masalah dalam sebutan ini mungkin disebabkan oleh faktor pengaruh bahasa ibunda yang kuat dalam diri individu tersebut. Walau bagaimanapun, seorang bakal guru bahasa Melayu perlulah fasih dalam pertuturannya walaupun bukan berbangsa Melayu. Tidak dinafikan bahawa kerancuan bahasa seperti ini, sedikit banyak akan mengganggu usaha pembakuan bahasa Melayu kerana dengan penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam kehidupan seharian, pengguna bahasa Melayu sukar untuk membandingkan bahasa baku yang betul dan sebaliknya.

P/s: Bukan hendak mengata tetapi menegur.

Khamis, 5 April 2012

Sosiolinguistik 24: Banner


Kali ini saya ingin memperkatakan tentang kesalahan bahasa yang digunakan dalam “banner” dari aspek nahu dan tatabahasa. Semenjak akhir-akhir ini seringkali berlaku kesalahan penggunaan bahasa dalam “banner” yang dihasilkan. Contohnya adalah seperti berikut.
Jelas sekali terdapat beberapa kesalahan bahasa yang dilakukan pada"banner" di atas. Penyalahgunaan hukum tatabahasa telah dilakukan pada iklan "banner" tersebut. Antara kesalahan tatabahasa yang dilakukan ialah pada perkataan "disini". Perkataan tersebut sepatutnya dijarakkan menjadi"di sini". Kesalahan susunan ayat juga berlaku pada ayat "Elakkan dari kenderaan anda disita". Ayat tersebut seharusnya berbunyi begini "Elakkan kenderaan anda daripada disita"

Juateru, diharapkan masyarakat Malaysia terutamanya pihak yang berwajib lebih peka terhadap permasalahan ini kerana jika terus dibiarkan, tidak mustahil andainya suatu hari nanti bahasa Melayu akan lupus dan tidak lagi digunakan. 

Rabu, 4 April 2012

Sosiolinguistik 23: Dialek dalam P&P


Baru-baru ini ketika aku menjalankan pengajaran makro di dalam kelas, aku sempat mendengar perbualan seorang guru dengan pelajarnya ketika sesi rakaman Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)  berlangsung. Ketika sesi P&P itu berlangsung, aku mendapati bahawa guru tersebut menggunakan dialek daerah tersebut ketika berkomunikasi dengan pelajarnya. Antara contoh dialek yang digunakan adalah seperti berikut:
        
  Guru: Hampa jangan pelekat lagi bahan tu dalam buku latihan.

Berdasarkan komunikasi di atas jelas bahawa sesetegah guru tidak menggunakan bahasa Melayu standard dalam sesi P&P. Mungkin guru tersebut menggunakan dialek ketika berkomunikasi dengan pelajar agar pelajarnya dapat memahami sesuatu yang disampaikan dengan mudah. Walau bagaimanapun, guru tersebut seharusnya menggunakan bahasa standard dalam pengajarannya kerana dengan menggunakan bahasa standard sahaja yang akan dapat meningkatkan penguasaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar itu sendiri.

Selasa, 3 April 2012

Sosiolinguistik 22: Bahasa rahsia


Walaupun saya bukan anggota perisik  atau polis tetapi sewaktu  di alam persekolahan dahulu saya dan rakan-rakan selalu menggunakan bahasa rahsia. Bahasa yang saya dan rakan-rakan tuturkan tidak difahami oleh orang di sekeliling dan hanya saya dan rakan-rakan sahaja yang mengetahui maknanya. Inilah yang dikatakan bahasa rahsia yang kami reka sendiri untuk mengungkapkan sesuatu yang dianggap peribadi dan tidak mahu diketahui oleh orang lain. Ini antara bahasa rahsia yang kami selalu gunakan semasa kami berkomunikasi antara satu sama lain.
  1. Wudah mukan ulom bermaksud sudah makan ke belum.
  2. Betak matu juji uning ma bermaksud saya mahu budak itu.
  3.   I hunyi u bermaksud saya suka kamu.
  4. Pancuh bermaksud kamu sangat penakut.

Isnin, 2 April 2012

Sosiolinguistik 21: Indahnya perumpamaan Melayu


Seloka- Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir seloka merupakan sejenis puisi Melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan, sindiran dan jenaka dan digunakan untuk menyindir sambil mengajar.
                 Contoh: Cantik manis putih kuning,

                                Bagai tanduk bersending gading,
                                Salah pandang akal dirunding,
                                Perangai pula laksana anjing.

Bidalan-Menurut Aripin Said, pada kebiasaannya isi kandungan bidalan mengandungi pengajaran dan fikiran yang bercirikan kebenaran dan berfungsi menyampaikan nasihat.
Contohnya:Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan     diduga- Kalau tidak mahir dalam sesuatu bidang itu, akibatnya buruk.


Peribahasa-Menurut Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj Hadis Melayu ialah peribahasa ataupun perumpamaan. Banyak daripadanya berasaskan pegangan agama, sebabnya setiap anjuran ke arah berbuat baik itu adalah asas ajaran Islam.
 Contohnya: Bagai pinang dibelah dua-pengantin ang sama padan.


Simpulan Bahasa-Menurut Abdullah Hussein simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.

Contohnya: Abang Angkat

Maksud: Lelaki yang telah di akui sebagai abang, tetapi tidak mempunyai pertalian darah dengan orang yang mengakuinya.


Perumpamaan-Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah perumpamaan merupakan peribahasa yang mempunyai maksud yang berlainan daripada perkataan-perkataan yang membentuknya. Perumpamaan biasanya menggunakan kata bandingan seperti macam, umpama, bak, laksana, dan seperti.
Contohnya:Bagai bulan dipagari bintang.
Maksud : Kecantikan gadis yang tiada bandingannya.


Pepatah dan Petitih- Menurut Abdullah Yusof et.al. pepatah merupakan salah satu jenis peribahasa yang mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. Pepatah ini biasanya berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat.

Contohnya: Buang siriah buang bidak, buang puluik buang tingkalang, kato nan ban dipatidak sandi iman nan nyato kurang. 
Maksudnya seseorang yang pendusta yang suka merubah kebenaran, sendi keimanan yang sangat kurang.

Perbilangan- Menurut Nor Hashimah Jalaluddin perbilangan merupakan susunan kalimat yang bertujuan menjadi pegangan kepada anggota masyarakat sehingga menjadi adat atau peraturan. Perbilangan berasal daripada adat resam Melayu. Berfungsi sebagai pedoman  dalam kehidupan bermasyarakat dan bentuknya berkerat-kerat atau berpatah-patah.

Kata-kata Pujangga- Menurut Rubiah Aksah Kata-kata pujanggan merupakan hasil pemikiran bijak pandai dan tokoh-tokoh tersohor. Biasanya mengandungi pengertian yang mendalam, iaitu sebagai suatu peringatan di samping menjadi panduan dalam kehidupan.

Tamsil - Menurut Kamus Dewan, tamsil ialah persamaan sebagai umpama, misalan. Tamsil adalah misalan yang berkias dan mengandungi pengajaran dan teladan.