Rabu, 18 April 2012

Sosiolinguistik 28: Peribahasa Melayu

Zaman sekarang agak sukar untuk anak-anak muda mengetahui peribahasa-peribahasa lama yang menjadi khazanah kita. Saya berasa ingin berkongsi tentang topik ini apabila teringat petang tadi saya dan kawan-kawan bersembang sambil menunggu bas untuk balik ke kolej kediaman. Seorang kawan secara tidak sengaja terkeluar perkataan "Air muka" sewaktu bercakap dengan saya petang tadi. Berikut merupakan antara perbualan kami sehinggakan perbualan kami ters kepada topik peribahasa.

Kawan: Fiq cuba kamu lihat air muka dia? macam ada masalah sahaja.
Aku     : Air muka? bukan itu peribahasa ke?
Kawan : eh eh ya laa.. tidak sangka aku boleh aplikasikan peribahasa aku dalam percakapan seharian.
Aku     : Apa lagi eh peribahasa melayu yang ko tahu?


berikut merupakan antara contoh-contoh peribahasa yang sempat kami senaraikan dalam perbualan kami sementara menunggu bas untuk balik ke kolej kediaman.

Ada hati
  • Ada keinginan

Ada jalan
  • Ada cara, ikhtiar, usaha

Ada udang di sebalik batu
  • Ada maksud yang tersembunyi di sebalik sesuatu perbuatan

Air muka
  • Permukaan air
  • Rupa muka (yang membayangkan sesuatu perasaan)
  • Maruah, harga diri

Air seni
  • Air kencing, air kecil

Akal yang sihat itu ada pada badan yang cergas
  • Orang yang sihat tubuh badan memiliki fikiran yang baik atau idea yang bernas

Akar umbi
  • Akar tunjang
  • Keseluruhan asas (sesuatu) yang kukuh
  • Peringkat bawahan atau asas dalam sesuatu komuniti

Alah bias tegal biasa
  • Segala kesusahan tidak akan terasa lagi sesudah biasa mengalaminya

Alah membeli menang memakai
  • Tidak apalah mahal sedikit harganya asal barang itu kuat (tahan dan sebagainya)

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
  • Kalau sudah terlanjur jahat biarlah sampai beroleh hasilnya
  • Kalau sudah melakukan sesuatu, biarlah pekerjaan itu diselesaikan

Ambil langkah
  • Mulai hendak berjalan
  • Mulai bertindak


Selasa, 17 April 2012

Sosiolinguistik 27: Ketidaksantunan dalam berbahasa

Kali ini saya ingin menceritakan perihal ketidaksantunan berbahasa dalam kalangan anak-anak muda pada masa kini. Situasi ini saya perolehi apabila pergi ke Pekan pada petang tadi untuk membeli keperluan seharian di sebuah kedai. Setibanya saya di tempat parking motor, saya terdengar perbualan yang dituturkan oleh sekumpulan remaja yang berhampiran dengan tempat parking moto itu. Bahasa-bahasa yang digunakan oleh remaja-remaja tersebut tidak menunjukkan kesantunan bahasa langsung. Antara perkataan yang sempat saya ingat adalah seperti berikut.

  1. Amacam bro? ok.. ape kejadah punya sial mamat tu.
  2. Lantak ko laa.. pi mampus laa.. pukimat
  3. Derr..amacam projek mlm nie? terbaikkk!!
  4. Sungguh bangsat brother tu.sial tol

Kita sebagai masyarakat Malaysia seharusnya menerapkan nilai-nilai ketimuran seperti berbudi-bahasa, sopan-santun dan lemah-lembut agar budaya yang kita terima dari nenek moyang ini tidak akan terus terkubur ditelan arus permodenan dunia.


Isnin, 16 April 2012

Sosiolinguistik 26:Peribahasa Jiwa Kita


Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.



Yang lama dikelek, yang baharu didukung

Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup

 yang baharu.



Seperti lembu dicucuk hidung

Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang



Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.



Bagai kaca terhempas ke batu

Maksud : Sangat sedih atau kecewa.



Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.



Bagai Aur Dengan Tebing

Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan 

saling membantu.



Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.



Bara yang digenggam biar sampai jadi arang

Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, 

sehingga mencapai kejayaan.



Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih 

baik di negeri sendiri

Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap 

negeri sendiri lebih baik lagi.

Jumaat, 6 April 2012

Sosiolinguistik 25:Pelat dalam berbahasa



Pada minggu lepas seorang rakan sekelas saya yang berbangsa Cina telah melakukan pembentangan untuk tugasan sosiolinguistik. Dalam pembentangan tersebut saya mendapati dia banyak melakukan kesalah sebutan, terutamanya bagi perkataan yang mengandungi huruf ‘r’. Antara perkataan yang salah sebutannya seperti berikut:

            Lakan              - Rakan
            Cudah              - Sudah
            Pelibahasa      - peribahasa
            Ibalat                 - ibarat
            Pekala               - perkara
            Selupa               - serupa
            Banyiak              - banyak

Masalah dalam sebutan ini mungkin disebabkan oleh faktor pengaruh bahasa ibunda yang kuat dalam diri individu tersebut. Walau bagaimanapun, seorang bakal guru bahasa Melayu perlulah fasih dalam pertuturannya walaupun bukan berbangsa Melayu. Tidak dinafikan bahawa kerancuan bahasa seperti ini, sedikit banyak akan mengganggu usaha pembakuan bahasa Melayu kerana dengan penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam kehidupan seharian, pengguna bahasa Melayu sukar untuk membandingkan bahasa baku yang betul dan sebaliknya.

P/s: Bukan hendak mengata tetapi menegur.

Khamis, 5 April 2012

Sosiolinguistik 24: Banner


Kali ini saya ingin memperkatakan tentang kesalahan bahasa yang digunakan dalam “banner” dari aspek nahu dan tatabahasa. Semenjak akhir-akhir ini seringkali berlaku kesalahan penggunaan bahasa dalam “banner” yang dihasilkan. Contohnya adalah seperti berikut.
Jelas sekali terdapat beberapa kesalahan bahasa yang dilakukan pada"banner" di atas. Penyalahgunaan hukum tatabahasa telah dilakukan pada iklan "banner" tersebut. Antara kesalahan tatabahasa yang dilakukan ialah pada perkataan "disini". Perkataan tersebut sepatutnya dijarakkan menjadi"di sini". Kesalahan susunan ayat juga berlaku pada ayat "Elakkan dari kenderaan anda disita". Ayat tersebut seharusnya berbunyi begini "Elakkan kenderaan anda daripada disita"

Juateru, diharapkan masyarakat Malaysia terutamanya pihak yang berwajib lebih peka terhadap permasalahan ini kerana jika terus dibiarkan, tidak mustahil andainya suatu hari nanti bahasa Melayu akan lupus dan tidak lagi digunakan. 

Rabu, 4 April 2012

Sosiolinguistik 23: Dialek dalam P&P


Baru-baru ini ketika aku menjalankan pengajaran makro di dalam kelas, aku sempat mendengar perbualan seorang guru dengan pelajarnya ketika sesi rakaman Pengajaran dan Pembelajaran (P&P)  berlangsung. Ketika sesi P&P itu berlangsung, aku mendapati bahawa guru tersebut menggunakan dialek daerah tersebut ketika berkomunikasi dengan pelajarnya. Antara contoh dialek yang digunakan adalah seperti berikut:
        
  Guru: Hampa jangan pelekat lagi bahan tu dalam buku latihan.

Berdasarkan komunikasi di atas jelas bahawa sesetegah guru tidak menggunakan bahasa Melayu standard dalam sesi P&P. Mungkin guru tersebut menggunakan dialek ketika berkomunikasi dengan pelajar agar pelajarnya dapat memahami sesuatu yang disampaikan dengan mudah. Walau bagaimanapun, guru tersebut seharusnya menggunakan bahasa standard dalam pengajarannya kerana dengan menggunakan bahasa standard sahaja yang akan dapat meningkatkan penguasaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar itu sendiri.

Selasa, 3 April 2012

Sosiolinguistik 22: Bahasa rahsia


Walaupun saya bukan anggota perisik  atau polis tetapi sewaktu  di alam persekolahan dahulu saya dan rakan-rakan selalu menggunakan bahasa rahsia. Bahasa yang saya dan rakan-rakan tuturkan tidak difahami oleh orang di sekeliling dan hanya saya dan rakan-rakan sahaja yang mengetahui maknanya. Inilah yang dikatakan bahasa rahsia yang kami reka sendiri untuk mengungkapkan sesuatu yang dianggap peribadi dan tidak mahu diketahui oleh orang lain. Ini antara bahasa rahsia yang kami selalu gunakan semasa kami berkomunikasi antara satu sama lain.
  1. Wudah mukan ulom bermaksud sudah makan ke belum.
  2. Betak matu juji uning ma bermaksud saya mahu budak itu.
  3.   I hunyi u bermaksud saya suka kamu.
  4. Pancuh bermaksud kamu sangat penakut.